Rabu, 4 Mei 2011

Senarai Filem Melayu 2011 (Sambungan)

Dilarang Masuk


Sinopsis Filem


Suasana semakin gelap, kabus dingin meliputi bukit.. Empat sekawan, Fatia, Badrul, Juli dan Ronnie sudah kehilangan akal, buntu menemui jalan pulang. Perjalanan yang tidak sudah itu menemukan mereka dengan sebuah banglo usang di mana mereka memutuskan untuk bermalam di situ. Di rumah misteri yang seakan tidak berpenghuni itu, mereka menjumpai sejumlah wang jutaan ringgit di dalam sebuah beg yang sudah lama tersimpan. Dengan perasaan penuh tanda tanya, mereka dikejutkan dengan penemuan dua mayat yang telah reput dan sepucuk pistol - yang masih penuh dengan peluru hidup. Fatia yang masih bergantung dengan ubat, mengalami pengalaman aneh - kelibat seorang gadis perempuan yang menyebabkan Fatia trauma - seolah-olah dapat menyelami perasaan gadis itu. Fatia dapat merasakan ketakutan yang menyelubungi diri gadis tersebut,setiap detik yang dialami merungkai peristiwa yang telah berlaku di rumah itu. Keadaaan menjadi semakin genting apabila pistol berpeluru hidup hilang entah ke mana, masing-masing ketakutan dan berlaku pertelingkahan di atas wang yang dijumpai. Kekacauan yang menghantui Fatia merunsingkannya sehingga ia dapat mengetahui suatu rahsia - rahsia yang merungkai sebuah kebenaran. Apakah rahsia tersebut? Siapakah yang mendiami rumah itu? Apakah yang telah berlaku di situ?

Pengarah : Jeffrey Chiang

Lakonan : Asyikin Kamal, Muhamad Ismaizal bin Yusoof, Isma Hanum, Muniff Isa, Esma Danial, Betty Banafe, Zuhairi Ibrahim


Tarikh Tayangan : 7 April 2011


Senjakala


Sinopsis Filem





Karlisa, baru saja kematian tunangnya di dalam sebuah kemalangan jalan raya. Sejak itu, Karlisa mendapat mimpi pelik yang memanggil-manggil gadis itu untuk pulang ke kampung ibunya iaitu Kg Senja Lama. Karlisa pernah membesar di kampung tersebut sewaktu kecil, tetapi berpindah ke Kuala Lumpur dan sejak itu tidak pernah pulang semula ke sana. Secara sembunyi-sembunyi, Karlisa bersama teman rapatnya, Isabella, pergi ke Kg Senja Lama. Mereka pergi semula rumah kampung keluarga Karlisa dan terkejut apabila mendapati Opah Maimoon, yang selama ini dianggap sudah meninggal dunia, masih hidup dan tinggal di rumah tersebut.

Di kampung itu juga, Karlisa bertemu dengan seorang lelaki penuh misteri bernama Armand. Armand seorang yang pendiam dan kera sumbang. Orang-orang kampung menghindari Armand kerana Armand mempunyai saka. Armand juga mempunyai kelebihan di mana, setiap gadis yang melihatnya, akan jatuh cinta kepadanya. Armand juga pernah bertunang, tetapi tuang bernama Harlina itu meninggal dunia, pada malam hari pertunangan mereka. Karlisa mulai rapat dengan Armand dan melalui Armand, Karlisa mula mengetahui tentang sejarah keluarganya sendiri.

Karlisa juga berkenalan dengan Intan, adik kepada Harlina, bekas tunang Armand. Intan dan keluarganya amat membenci Armand dan juga Karlisa, yang dikaitkan dengan kematian Harlina. Rupa-rupanya, Armand membela saka yang sepatutnya diwarisi oleh Karlisa. Dan Karlisa dipanggil ke kampung oleh saka yang mahu pulang ke tuan asalnya. Armand yang telah jatuh cinta dengan Karlisa, tidak mahu menyerahkan saka tersebut. Tetapi karlisa yang sedar ibunya telah lari daripada tanggungjawab keturunannya bagi membela saka, berdegil mahu bertanggungjawab.

Ibu Karlisa, Puan Mazidah, tidak mahu menerima saka daripada Opah Maimoon kerana mahu menyelamatkan suaminya Tuan Shapie, dari menjadi mangsa saka. Akibatnya, ayah Armand, Tuan Salleh yang berada di sisi Opah maimoon sewaktu perempuan itu nazak, mengambil saka tersebut kerana kasihan. Namun, saka hanya menumpang dan tidak boleh dimusnahkan, selagi perjanjian di antara tuan asalnya tidak dibatalkan. Akhirnya, Armand setuju memberi saka itu semula kepada Karlisa dengan harapan sebaik saka kembali kepada tuan asalnya, saka itu boleh dimusnahkan dengan bantuan seorang ustaz, Ustaz Zailan. Namun saka itu tidak musnah dan masih berada bersama-sama Karlisa.

Perwatakan Karlisa- berusia lewat 20an, seorang yang moden dan berpendirian. Namun, sejak kematian tunangnya, beliau jadi keliru dan susah hati. Karlisa kembali ke Kg Senja Lama, bagi mencari jawapan mimpi-mimpi peliknya. Di situ, beliau bertemu dan jatuh cinta dengan Armand, seorang lelaki penuh misteri yang digeruni penduduk kampung. Armand- berusia awal 30an, seorang yang pendiam, dan misteri. Digeruni penduduk kampung kerana dikatakan membela saka. Armand menderita sejak ayahnya, Tuan salleh, mengambil saka daripada Opah Maimoon. Dan apabila saka itu diturunkan kepadanya, hidup Armand lebih sukar. Tunangnya meninggal dunia menjadi mangsa saka.
Dan apabila bertemu Karlisa, dan tahu Karlisa adalah tuan asal saka, dia masih tidak mahu mengembalikan saka itu kepada Karlisa. Isabella- berusia lewat 20an, sangat moden dan seksi berpakaian. Seorang yang manja dan menggoda. Tidak percaya kepada dunia ghaib tetapi mengalaminya ketika di kg Senja Lama. Isabella juga tergoda dengan Armand tetapi tidak menunjuk perasaan itu di depan Karlisa kerana sedar Karlisa jatuh cinta dengan Armand. Namun, Isabella mempunyai niat mahu ‘try’ Armand. Opah Maimoon- berusia 80an, dan membela saka sejak muda. Opah maimoon sebenarnya sudah meninggal dunia dan sakanya yang sedang menjaga rumahnya serta bertemu dengan Karlisa dan Isabella.

Opah Maimoon hanya muncul menjelang senja hingga ke subuh. Intan – berusia 16 tahun, dan berkahwin muda kerana ayahnya bimbang menjadi mangsa saka Armand. Intan sedang mengandung dan beliau antara orang kampung yang mengetahui sejarah sebenar saka milik Armand. Dia mahukan kebenaran dan telah menceritakan semuanya kepada Karlisa. Puan mazidah – ibu karlisa yang telah lari dari kampung kerana tidak mahu menerima saka daripada ibunya, Opah Maimoon. Dia lari kerana tahu jika dia menerima saka tersebut, suaminya akan menjadi mangsa. Mazidah bagaimanapun terpaksa berdepan kenyataan apabila saka memanggil-manggil Karlisa. Tuan Shapie – mengetahui rahsia keluarga Mazidah dan amat memahami kehendak isterinya. Dia juga sayangkan anaknya. Shapie seorang yang warak.

Pengarah : Ahmad Idham

Penulis : Ahmad Idham (lakon Layar), Shariman Shafie (Cerita Asal)

Lakonan : Zahiril Adzim, Liyana Jasmay

Tarikh Tayangan : 14 April 2011


Penunggu Istana


Sinopsis Filem

Penunggu Istana adalah sebuah dokumentari yang mengikuti sebuah kumpulan paranormal iaitu “The Seekers Team” yang cuba menjejaki misteri yang terdapat di dalam Istana Bilah, istana tua yang terbiar di Perak. Pada Feb 2009, krew sebuah TV produksi yang menjalani penggambaran untuk siri drama ‘Warkah Terakhir’ telah mengalami satu pengalaman yang ngeri dan dasyat. Mendengar cerita ini, kumpulan Seekers membuat keputusan untuk kembali ke tempat misteri tersebut bagi menyiasat perkara sebenarnya yang telah berlaku dan bekerjasama dengan Wan Hasliza (pengarah ‘Warkah Terakhir’). Mereka bermalam di istana yang sunyi dan menyeramkan itu selama 7 hari berturut-turut dengan harapan dapat menemui bukti-bukti kewujudan kuasa misteri. Segala tindakbalas atau perkara yang berlaku semasa penyiasatan ini dirakamkan sendiri oleh Wan Hasliza. Sesetengah kejadian yang berlaku boleh diklasifikasikan sebagai gangguan biasa seperti keadaan istana yang sudah begitu usang menghasilkan gema yang menyeramkan atau bunyi angin melalui atap bumbung yang sudah rosak. Tetapi mereka akhirnya menyedari bahawa mereka tidak berseorangan malah ditemani oleh ‘penghuni-penghuni’ yang telah menetap di istana itu – sejak hari pertama lagi mereka di situ. Melalui temubual, kamera-kamera yang digunakan dalam penyiasatan dan alat-alat khas yang lain, terdapat imej-imej yang ganjil dan menyeramkan telah ditemui disebalik misteri tinggalan istana lama ini.

Pengarah : Wan Hasliza
Penulis/Lakon Layar : Wan Hasliza

Lakonan : Siti Nadhirah(Adeek), Sara Ali, Nor Zafirah Abd Rahim, Amar Asyraf Zailuddin, Mustaqim Mohamed Zaki, Nadzirah Ahmad Nadzri, Uncle Seekers

Tarikh Tayangan : 21 April 2011



Seru

Sinopsis Filem


Mengisahkan tentang sebuah produksi yang sedang membuat satu penggambaran filem seram bertajuk "Jangan Bernafas". Semasa penggambaran berlangsung, secara tiba-tiba, pelbagai kejadian aneh dan peristiwa berlaku, diluar jangkaan mereka. Padanya mulanya, mereka menganggap ia hanyalah rasukan biasa dan kru di sebalik pembikanan filem tersebut, ingin menjadikannya sebagai "footages" menarik untuk tujuan promosi filem tersebut. Namun, seorang demi seorang menjadi sasaran rasukan dan juga pembunuhan, menyebabkan keadaan menjadi tidak terkawal.... tetapi kamera yang digunakan, masih terus merakamkan aksi yang terjadi .

Apakah seterusnya bakal terjadi kepada kumpulan tersebut, mampukah mereka mengelak daripada dirasuk dan diburu entiti yang tidak diketahui?. Nantikan kesudahan filem SERU, yang akan menemui penonton pada 28 April 2011. Antara barisan pelakon ialah Awal Ashaari, Pierre Andre, Nora Danish, Shaarnaz, Qhaud AF7, Dazrin, Sufian Mohamed, Nisha Dirr, Khatijah, Cut Mutia, Dewa Sapri dan ramai lagi.



Pengarah : Ming Jin, Pierre Andre

Lakonan : Sharnaaz, Cut Mutia, Azman Hassan, Kat, Nora Danish, Awal Ashaari, Pierre Andre


Tarikh Tayangan : 28 April 2011




Momok..Jangan Panggil Aku..


Sinopsis Filem


Ramlee menerima panggilan dari rakan lama sekolejnya, Aziz, untuk menjemput beliau ke majlis kendurinya di Kampung Pulau Rusa, Pekan Pahang. Ramlee bersama rakannya, Qaseh, seorang novelis cerita-cerita seram dan Sudin menerima jemputan Aziz dan bertolak dari Bandaraya ke Pahang dengan menaiki sebuah kenderaan.
Sepanjang perjalanan ke Pahang untuk menghadiri majlis kenduri Aziz, Qaseh memulakan cerita-cerita seram yang dialaminya termasuk dari kisah seram yang dari novel seram yang bakal diterbitkan nanti. Bermula dengan cerita Hantu Raya, Polong dan Saka cerita-cerita seram ini telah diselang-selikan dengan insiden seram yang benar-benar berlaku.

Kebosanan dalam perjalanan bertukar menjadi satu perjalanan yang menimbulkan rasa seram. Mereka terserempak dengan realiti cerita seram di lebuhraya apabila berselisih dengan kereta yang tidak berpemandu. Mereka juga telah melanggar imej misteri yang membuat mereka terpaksa membuat laporan di Balai Polis. Mereka bertambah bingung apabila pihak polis memberitahu terdapat 5 aduan yang sama tetapi tidak menemui tubuh yang dilanggar. Di tengah perjalanan mereka turut menumpangkan seorang gadis yang bernama Ita dan seorang lelaki misteri yang hanya dipanggil Abang Long. Tujuan mereka bertiga menumpangkan Ita dan Abang Long adalah bertujuan untuk menemankan mereka yang ketakutan dalam perjalanan memandu. Namun kehadiran Abang Long dan Ita telah menambahkan curiga kepada mereka bertiga. Mereka telah menurunkan Ita di sebuah rumah yang berhampiran dengan kawasan perkuburan manakala Abang Long akhirnya menemankan rakan bertiga ini untuk menuju ke destinasi mereka di Pahang.  Setelah didesak oleh Qaseh, Pak Long turut menceritakan cerita seram kepada Qaseh sebagai bahan novelnya.

Dalam perjalanan, Ramlee sekali lagi menerima panggilan dari Aziz dan menyuruh beliau segera untuk sampai ke kampungnya. Mereka bertiga sedikit kehairanan dengan sikap Aziz yang menyuruh mereka segera sampai walaupun majlis diadakan lewat pagi. Insiden menyeramkan muncul ketika mereka berhenti rehat di sebuah gerai di tepi lebuhraya yang mereka lalui.

Mereka sampai ke kampung Pulau Rusa Pahang menjelang subuh dan tercari-cari simpang ke rumah Aziz ketika itu mereka telah diganggu `hantu’ yang mengakibatkan Ramlee dan Sudin pengsan . Hanya Qaseh yang agak berani dan cuba merakamkan imej ‘hantu’ dengan lensa kameranya. Abang Long juga telah ghaib entah ke mana. Menjelang pagi mereka terus mencari simpang ke rumah Aziz. Mereka berjumpa Aziz di simpang jalan dan Aziz telah menunjukkan arah ke rumahnya.  Namun apabila mereka sampai ke rumah Aziz satu misteri telah terungkap…Misteri yang mengakhiri destinasi Ramlee, Sudin dan Qaseh. Siapakah Ita, Abang Long dan Aziz yang sebenarnya…..Saksikanlah cerita seram selanjutnya dengan menonton MOMOK… Jangan Panggil Aku……




Pengarah : M.Jamil

Penulis/Cerita Asal : M.Jamil

Lakonan : M.Jamil, Ariff S. Shamsuddin, Cassandra Patrick, Mariani, Zarina Zainuddin, Yassin Salleh, Amin Khan, Ery Zukhairi

Tarikh Tayangan : 5 Mei 2011


Kongsi


Sinopsis Filem

TUMULAK, seorang pembunuh upahan berasal dari Thailand telah diupah oleh Ketua Gangster Thailand iaitu KIMPEDU. KIMPEDU yang tamakkan kuasa dan wang, merancang untuk membunuh setiap ketua kongsi gelap di Malaysia baSgi menimbulkan kekacauan diantara kumpulan kongsi gelap Melayu, Cina dan India. Ini akan memudahkan kumpulannya menyusup masuk dan menguasai kawasan pemerintahan dan perniagaan ahli kongsi gelap di Malaysia.

Segala kekecohan ini berlaku bermula di Pulau Pinang. ASP SHARIF yang bertugas di bahagian D7 kongsi gelap, judi dan maksiat bertanggungjawab di dalam kes – kes yang melibatkan ahli kongsi gelap. Setelah banyak kes pembunuhan berlaku dan berita tersebut tersebar luas. Wajah fotofit TUMULAk terpampang di poster dan televisyen sebagai orang yang paling dikehendaki di Malaysia. KIMPEDU lantas mengarahkan MAIA iaitu pembunuh upahannya yang kedua untuk memburu dan membunuh TUMULAK agar rahsia perancangannya tidak terbongkar kepada pengetahuan kumpulan kongsi gelap Malaysia dan pihak Polis.

TUMULAK diburu oleh Polis, kumpulan kongsi gelap dan seorang pembunuh upahan. Pelbagai strategi dirancang bagi meloloskan dirinya dari pihak – pihak tersebut. TUMULAK mengugut ASP SHARIF agar tidak mengganggunya. MAIA, pembunuh upahan kedua berjaya ditangkap oleh TUMULAK. TUMULAK berjaya melepasi sekatan Polis dan keluar dari Pulau Pinang menuju ke sempadan Thailand tetapi akhirnya beliau tumpas ditangan Skuad UTK Polis.

Pengarah : Farid Kamil

Lakonan : Shaheizy Sam,Fizo Omar,Yana Samsudin,Azad,Bront Palarae dan Putri Mardiana

Tarikh Tayangan : 12 Mei 2011


Nur Kasih


Sinopsis Filem

Sebuah Filem dari Drama Bersiri Nur Kasih.

Pengarah : Kabir Bhatia

Penulis : Kabir Bhatia(Lakon Layar), Mira Mustaffa(Scriptwriter)

Lakonan : Remy Ishak, Fizz Fairuz, Tiz Zaqyah

Tarikh Tayangan : 19 Mei 2011

















Karak


Sinopsis Filem

Filem Karak ini mengisahkan sebuah cerita lagenda dan kisah seram di sepanjang lebuhraya Karak dan merupakan filem seram cubaan pertama terbitan KRU Studio yang diarah oleh Yusry Abdul Halim.

Empat orang pelajar kolej yang sedang dalam perjalanan pulang ke Kuantan setelah menghabiskan masa malam mereka di Kuala Lumpur. Semasa perjalanan pulang, mereka terperangkap di dalam kesesakan jalaraya di sepanjang lebuhraya Karak.

Mereka perlu pulang segera kerana perlu menghadiri kuliah pada keesokan paginya, lantas memilih untuk menggunakan sebatang jalan lama tanpa mengetahui jalan yang mereka pilih akan merubah hidup mereka dengan pelbagai kisah yang menyeramkan.

Pengarah : Yusry Abd Halim

Penulis (Cerita Asal) : Norman Abd Halim

Lakonan : Shahir AF8, Sheera Aiyob, Kilafairy, Md Eyzendy, Sidek Hussain





Toyol Nakal


Sinopsis Filem




Sebuah cerita Komedi semasa dengan lebih seribu ketawa. Toyol Nakal memulakan kisahnya dengan seorang budak yang digelar Toyol. Usianya baru 13 tahun tapi nakalnya sangatlah pelik. Dia sanggup meninggalkan bangku sekolah walaupun berasal dari golongan berada. Kawannya bukan saja seusia dengannya tapi orang dewasa.Walaupun nakal tapi hatinya mulia. Toyol yang lama meninggalkan kemewahan hidup pulang semula ke banglo tempat dia dibesarkan. Didapati suasana telah lain, ayahnya kahwin baru, itupun sesudah kematian ibunya beberapa tahun dulu.

Malam pertama ayahnya dengan mak mudanya banyak gangguan dibuat oleh Toyol. Sampai kepagi ayahnya tergelincir dari menjalankan tugas sebagai suami terhadap isteri yang baru dinikahinya. Bibik orang gaji selalu menasihati Toyol agar lebih bersopan tapi semuanya tidak diambil pusing oleh Toyol. Kerana tidak tahan dengan perangai anaknya Toyol, Tuan Ali membiarkan saja apa yang disenangi oleh Toyol. Budak nakal itu meninggalkan banglo dan kemewahan hidup. Di bandar, Toyol bertemu kawan dengan Aliff seorang bujang terlajak yang sama lebih kurang dengan perangainya.
Tapi Aliff yang dewasa lebih berwawasan. Mereka tinggal serumah, Aliff menpunyai seorang kekasih penjual bunga yang buta. Tiap kali pulang dari kerja Aliff akan menemui Hazira. Gadis buta itulah tempat Aliff melepaskan rindu pandangan. Berbagai perkara lucu berlaku bila penguatkuasa bertindak terhadap penjaja-penjaja haram di tepi jalan. Aliff turut melindungi “Stall” Bunga Hazira tapi tersalah langkah. Hazira pula yang memarahinya. Apa pun mereka berkawan semula. Toyol senang dengan perangai Aliff yang dianggapnya sebagai abang. Datuk Toyol yang bernama Al-Bana seorang dukun yang mengamalkan ilmu hitam.

Dia benar-benar memelihara “Toyol Hantu” untuk kepentingan dirinya. Tapi akhirnya Al-Bana sendiri menjadi mangsa “Toyol Hantu” yang banyak syarat itu. Hingga si datuk sanggup mencabul kehormatan isteri orang yang datang berubat dengannya. Datuknya ditangkap polis. “Toyol Hantu” bebas. Tapi kehadiran “Toyol Hantu” dan budak yang digelar Toyol itu kian celaru. Macam-macam perkara nakal terjadi. Akhirnya “Toyol Hantu” tewas ditangan budak Toyol. “Toyol Hantu” mati terbakar. Apa pun meseg sebenar cerita ini ialah tentang Haliza yang buta mahu membuat rawatan di hospital.
Pembedahan memerlukan wang yang banyak. Aliff tidak ada wang sebanyak yang diperlukan. Toyol ada idea, ia membawa Aliff mencuri di sebuah rumah banglo kepunyaan ayahnya. Waktu itu ayahnya sedang tidur nenyak. Toyol ada kunci banglo dan tahu membuka “Safe”. Duit sebanyak lima puluh ribu dikeluarkan. Dan dengan duit curi itu dapatlah Aliff membiayai pembedahan mata Hazira. Malangnya bila Hazira sudah celek dia tidak dapat menerima Aliff sebagai kekasihnya kerana Ariff kurang hensom. Kakanya Nisa memperkenalkan Azman kacak lawa dan kaya sebagai pasangan Hazira. Aliff hampa dan mambawa diri tetapi Toyol tetap setia dengannya. Mereka berjanji mahu menjadi manusia yang lebih berwawasan. Aliff dan Toyol datang “declose” pada Tuan Ali atas segala kesilapan dan kecurangan mencuri. Tuan Ali memaafkan dan minta Aliff membetulkan perjalanan hidup anaknya Toyol.

Pengarah : Z. Lokman

Penulis : Z. Lokman

Lakonan : Julia Ziegler, Abon, Mr.OS, Johari Hamid, Bobby

Tarikh Tayangan : 2 Jun 2011


KL Gangster


Sinopsis Filem

Mengisahkan dua beradik yang telah terjebak di dalam dunia gangster, seorang bernama Malek dan seorang lagi Jai. Si abang iaitu Malek telah dipenjarakan selama 5 tahun akibat dikhianati oleh kumpulannya sendiri yang didalangi oleh Shark anak tiri kepada King, iaitu ketua kongsi gelap yang paling berpengaruh di KL. Bagi Malek setelah dibebaskan beliau ingin mengubah persepsi kehidupan serta menjauhkan diri dari kehidupan hitam sebagai ahli kongsi gelap.

Menjalani rutin kehidupan biasa sambil menjaga ibunya yang dah tua tapi sebagai bekas banduan yang dipandang serong oleh masyarakat adalah agak sukar dia menjalani kehidupan seperti biasa. Beliau sering diganggu oleh gangster-gangster lain yang masih berdendam dengan beliau sehingga King tampil menghulurkan bantuan untuk Malek memulakan kehidupan baru. King mengarahkan orangorangnya supaya tidak menganggu kawasan Malek dan ini amat tidak disenangi oleh anak tirinya Shark yang ingin menjadi "Raja" di KL ini. Berlainan pula dengan kehidupan adiknya yang masih hanyut dibuai kemewahan hidup di dalam dunia gangster.

Bagi Jai kemewahan hidup adalah segalanya dan ini hanya boleh dicapai dengan dunia hitam yang diceburinya sekarang. Dia sanggup melakukan apa saja demi wang dan kuasa. Jai antaraorang kuat Shark dalam apa saja misi yang Shark lakukan. Jai lah orangnya yang akan tampil ke depan untuk merealisasikan apa jua yang diarahkan Shark. Sayap Shark semakin berkembang. Tapi dengan kemunculan Malek, Shark terasa semakin tergugat. Beliau terasa tercabar. Berbagai cara dilakukan untuk menjatuhkan Malek tetapi sentiasa dipatahkan oleh ayah tirinya King yang sering membela Malek yang dianggap sebagai sahabat.

King kurang senang dengan karenah Shark yang sentiasa mencetuskan perbalahan yang membabitkan kumpulan-kumpulan gelap yang lain. Ini membuatkan hubungan anak beranak ini semakin dingin. Kerana tamakan kuasa Shark mula berdendam dengan ayahnya beserta Malek. bagi Shark, Maleklah punca segalanya. Dengan itu, Shark mengarahkan Jai untuk menghapuskan abangnya. Disinilah bermula konflik diantara saudara dan kesetiaan keluarga dan kumpulan... Nyawa atau harga diri. Dimanakah penghujung pertempuran mereka...segala-galanya akan terjawab dalam "KL GANGSTER".

Pengarah : Syamsul Yusof

Penulis/Lakon Layar : Syamsul Yusof

Lakonan : Syamsul Yusof, Ridzuan Hashim, Aaron Aziz, Adyputra, Zizan Raja Lawak

Tarikh Tayangan : 9 Jun 2011


3,2,1 Cinta


Sinopsis Filem

MENGISAHKAN Sam, anak gadis yang berpewatakan kasar seperti lelaki yang baru sahaja berpindah untuk menyambung pelajaran di sebuah kolej. Dia bertemu semula dengan kawan baik semasa sekolah iaitu Fariz di situ. Dalam masa yang sama, Sam mula ditakut-takutkan dengan fakta bahawa dengan sikap kasarnya itu, dia akan ditakuti oleh semua lelaki dan dia akan bersendirian sampai mati.

Ini Secara kebetulan, Sam terserempak dengan Nazril, lelaki idaman seluruh kolej. Dia tercabar dengan sikap Nazril yang hanya melayan perempuan cantik sahaja menyebabkan dia tekad untuk memikat Nazril. Pelbagai peristiwa yang melucukan dan romantis berlaku sepanjang usaha Sam untuk memikat Nazril termasuk cuba merubah penampilan dan sikap kasarnya. Dalam masa yang sama, hubungan Sam dengan bapa tirinya dan adik tirinya, Mimi juga semakin pulih dan erat. Akhirnya, Nazril jatuh cinta dengan kesungguhan Sam apabila Sam sanggup membantunya untuk menguruskan rumah anak yatim yang dibinanya.

Sam juga sanggup mengajar anak-anak yatim itu dengan caranya yang tersendiri. Namun, rupa-rupanya Fariz selama ini menyintai Sam dalam diam. Fariz meluahkan perasaannya pada Sam. Sam yang keliru dengan luahan Fariz itu cuba berfikir kembali tentang perasaan dirinya terhadap Fariz dan Nazril. Dan ketika Nazril pula meluahkan perasaan kepada Sam, Sam sedar dan yakin siapa sebenarnya yang harus dipilihnya.

Pengarah : Azhari Mohd Zain

Lakonan : Diana Amir, Farid Kamil, Pierre Andre, Mustapha Kamal, Sheila Mambo, Zila Bakarin, Ruzaidi Abdul Rahman

Tarikh Tayangan : 16 Jun 2011


Sekali Lagi


Sinopsis Filem 

Selama ini, ARMAN percaya bahawa dirinya merupakan seorang pengidap autisme. Namun realiti sebenarnya bakal berubah dalam sekelip mata, ketika dirinya semakin menghampiri hari perkahwinannya. Untuk sebab yang tidak diketahuinya, Arman mendapat mimpi yang menyuruhnya agar tidak meneruskan perkahwinan dengan FARINA. Hubungan Arman dan Farina juga semakin bermasalah. Malah, dalam satu salah faham, Farina telah bergaduh dengan Arman dan meninggalkannya seorang diri di tepi jalan. Dalam perjalanan pulang itu, Arman hampir menjadi mangsa ragut samseng.

Mujurlah, AMY, seorang kanak-kanak kecil yang berada di situ, memekik dengan kuat, dan sekaligus memaksa menyelamatkan Arman. Sungguhpun Amy hanya berusia 5 tahun, Arman dapati kanak-kanak itu amat pintar dan berdikari sekali, malah lebih pintar dan berdikari berbanding dirinya sendiri. Persahabatan terbentuk di antara mereka, dan Arman banyak berkongsi masalah dan pengalaman dengan Amy. Berdasarkan pengalaman hidupnya sendiri, Amy memberikan banyak idea dan nasihat kepada Arman. Apabila Arman menyatakan rasa ragu-ragunya untuk meneruskan perkahwinan, Amy mencadangkan kepada Arman agar bertanya beberapa siri soalan kepada Farina dan juga ahli keluarganya.

Secara beransur-ansur, Farina dan ibu Arman mula merasai perubahan Arman. Dalam masa yang sama, ibu Amy sendiri, iaitu SHIELA, turut merasai perubahan yang berlaku pada Amy. Amy nampak lebih ceria berbanding dahulu. Shiela merasakan dirinya terhutang budi pada HARIS, si duda baik hati, yang sanggup menjaga Amy ketika Shiela pergi bekerja sebagai kerani pada waktu siangnya. Sebagai balasannya, Shiela akan membantu Haris membasuh pinggan mangkuk di warungnya selepas waktu kerjanya itu. Selama ini, Haris sememangnya jatuh hati pada Shiela, tetapi Shiela cuba berdalih kerana dia sendiri sedang terkurung dalam sejarah hitam yang tidak diketahui sesiapa, termasuk Haris. Ibu bapa Haris di kampung sudah bertemu calon isteri yang sesuai untuk Haris. Apabila wanita itu bertindak datang berjumpa Haris di Kuala Lumpur, Shiela tahu bahawa sudah tiba masanya untuk dia membuat keputusan. Amy amat sukakan Haris dan mahu Shiela bersetuju sahaja dengan perkahwinan itu. Demi anaknya itu, Shiela akhirnya bersetuju menerima lamaran Haris. Segalanya sepatutnya menggembirakan, namun, dalam sekelip mata, hidup Shiela juga bagaikan berubah, apabila dia bertemu Amy bersama Arman.

Pengarah : Hashim Rejab

Lakonan : Shaheizy Sam, Lisa Surihani, Mia Sara Nasuha, Bront Palarae, Kartina Aziz, Shasha, Zul Handyblack, Ana Dahlia, Bob Lokman, Amylia Nastasha Aziz

Tarikh Tayangan : 30 Jun 2011

Tolong! Awek Aku Pontianak


Sinopsis Filem

Percintaan dua dunia berbeza… Sebuah filem komedi seram yang mengisahkan Bob, berperwatakan lurus bendul dan baik hati yang bekerja di sebuah syarikat periklanan, di bawah penyeliaan Faizal. Selepas berpisah dengan teman wanitanya (Ina), Bob dan kawannya, Pian berpindah ke sebuah apartment lain. Kehidupan baru Bob bermula selepas berpindah dan bertemu dengan dua beradik iaitu Maya dan Liyana. Pada mulanya Liyana tidak menyenangi kehadiran Bob dan Pian kerana takut identiti mereka terbongkar.

Namun selepas menguji Bob, mereka mengakui bahawa Bob tidaklah seperti yang mereka sangkakan. Sejak itu, mereka berempat menjadi kawan baik. Hubungan Bob dan Maya pula bertambah rapat selepas insiden beg Maya diragut. Selepas bertemu Maya di rumah Bob, Faizal melamar Maya untuk bekerja di syarikatnya. Faizal cuba memikat Maya, namun hampa. Kemudian Faizal berpakat dengan Kamal untuk menakutkan Maya. Tetapi berlaku sebaliknya, Faizal dan Kamal pula yang ketakutan setelah dikacau oleh pontianak. Faizal mula curiga dengan kehadiran Maya dan menyuruh Kamal mencari bomoh untuk menyiasat kehadiran pontianak dipejabatnya.

Faizal menyatakan keraguannya tentang Maya kepada Pian dan mereka berpakat untuk membongkar identiti Maya dan Liyana. Di parti yang diadakan oleh Faizal, mereka melakukan pelbagai cara untuk membuktikan Maya dan Liyana adalah pontianak. Benarkah Maya dan Liyana pontianak? Dan apa pula hubungan Nadia dengan dua beradik itu? Semuanya akan terjawab dalam filem `Tolong! Awek Aku Pontianak!’.

Pengarah : James Lee

Penulis/Lakon Layar : James Lee

Lakonan : Zahiril Adzim, Sazzy Falak, Liyana Jasmay, Rashidi Ishak

Tarikh Tayangan : 7 Julai 2011

Karipap Karipap Cinta


Sinopsis Filem

Ali adalah seorang pemuda yang bersopan dan baik perangainya tetapi kurang memiliki cita-cita dan motivasi.Dia bekerja di sebuah syarikat yang menerbitkan akhbar politik dan majalah misteri. Tugasnya adalah untuk mengambil foto tempat-tempat yang kelihatan seram dan mengubahsuainya kepada gambar yang kelihatan mempunyai hantu. Dia jatuh hati pada Sarah,yang bekerja sebagai Kartunis. Dalam satu kejadian meragut, Ali cuba untuk menjadi hero tetapi terpaksa diselamtkan oleh Sarah dengan kemahiran seni silatnya. Ali mendapat tahu yang Sarah pernah belajar di Universiti Al-Azhar dan mempunyai kelayakan sebagai Ustazah.

Dalam usaha unutk memikat Sarah dan keluarganya, Ali berbohong yang dia juga adalah pelajar kelulusan dari Al-Azhar. Sementara itu, bos Ali, Datuk Razali Bunari terlibat dalam satu pertelingkahan sengit dengan saingan politiknya Dato Zidan. Dia mendapat dokumen sulit mengenai skandal Dato Zidan dan ingin menerbitkannya melalui akhbar politik beliau.Ali terkejut apabila dapat tahu bahawa ayah Sarah pernah bekerja dengan Dato Zidan dan memang terlibat dalam skandal tersebut.Setelah ketahui keinginan Bosnya itu, Ali ingin menebus dosa dengan mencuri dokumen-dokumen tersebut dari pejabatnya. Dengan bantuan empat sekawan beliau dapat pecah masuk ke rumah Bosnya dan mencuri dokumen tersebut. Adakah hajat Ali untuk memikat sarah terkabul dengan kecurian itu? Atau adakah Ali akan bersifat jujur dengan memberitahu perkara sebenar? Dapatkan jawapannya di panggung kelak.

Pengarah : Othman Hafsham

Lakonan : Gambit Saifullah, Melia Aimellia, Eman Manan, Sani Sudin, Rosnah Johari, Patrick Teoh, Chef Wan

Tarikh Tayangan : 31 Ogos 2011

Datin Ghairah

Sinopsis Filem 

DATIN GHAIRIEYAH atau lebih dikenali sebagai DATIN GHAIRAH adalah balu kepada arwah DATO MAHFUZ seorang ahli perniagaan yang terkenal di Malaysia. EMELIA dan EMELDA adalah hasil perkongsian hidupnya selama hamper 20 tahun bersama Dato Mahfuz. Walaupun hidup dalam serba kemewahan, meraka berdua amat lemah dalam pelajarannya terutamanya mata pelajaran matematik,ini membuatkan Datin Ghairieyah mengarahkan setiausaha kerjanya MELISSA mencari seorang guru yang boleh mengajar mata pelajaran matematik melalui internet dan iklan dalam akbar tempatan.

Selama hampir dua tahun status janda yang disandang oleh Datin Ghairieyah sedikit pun tidak melemahkan dirinya untuk meneruskan empayar perniagaan peninggalan arwah suaminya Dato Mahfuz,dia semakin ghairah untuk memperluaskan empayer perniagaan dengan bantuan CAPT.(R)LOQMAN seorang bekas pegawai TLDM yang berpengalaman serta mendapat sokongan daripada CIK MELISA sebagai setiausaha kerjanya,ENCIK FAIZAL dan ENCIK HAIRIE penyelia di syarikatnya.Kehidupan seharian Datin Ghairieyah dan anak-anaknya bertambah terjamin dengan adanya seorang pegawal peribadi yang bernama BADRI atau lebih dikenali sebagai BOB. SUFIAN seorang ahli perniagaan,dia juga merupakan rakan karib arwah DATO MAHFUZ.SUFIAN sedaya upaya cuba untuk memikat DATIN GHAIRIEYAH demi kepentingan perniagaannya.

Akhirnya hubungan antara DATIN GHAIRIEYAH dengan SUFIAN semakin intim.Perbuatan dan sikap sufian yang licik tidak sedikit pun menimbulkan curiga dihati DATIN GHAIRIEYAH walaupun hakikatnya CAPT.(R)LOQMAN mula rasa curiga,dia cuba untuk menasihati DATIN GHAIRIEYAH supaya berwaspada tetapi nasihat dan pandangannya tidak diambil peduli oleh DATIN GHAIRIEYAH. DERUS LEE terbaca satu iklan mencari guru matematik untuk mengajar anak-anak DATIN GHAIRIEYAH yang menjanjikan habuan yang sungguh lumayan.DERUS LEE segera pulang kerumah memberitahu kepada rakan serumahnya ZACK yang masih menganggur.DERUS LEE agak terkilan kerana ZACK menolak cadangannya itu dengan alasan ia tidak akan di terima kerana tidak memenuhi syarat-syarat kelayakan yang dipinta.

DERUS LEE mencadangkan supaya ZACK menyamar sebagai lelaki berumur supaya diterima oleh DATIN GHAIRIEYAH dan akhirnya ZACK bersetuju. Dalam Perjalanan ke rumah DATIN GHAIRIEYAH di Pulau Langkawi,ZACK dan DERUS LEE telah cuba menyelamatkan DATIN GHAIRIEYAH dari diculik dari kumpulan H1N1.DATIN GHAIRIEYAH agak terpegun apabila menatap wajah ZACK yang saling tak tumpah seperti arwah suaminya, DATO MAHFUZ.DATIN GHAIRIEYAH mememperkenalkan dirinya,DERUS LEE segera mengeluarkan keratan iklan dan memperkenalkan ZACK sebagai guru matematik yang dicari oleh Datin.Datin rasa terhutang budi,ZACK diterima sebagai guru matematik. Kehadiran ZACK yang menyamar sebagai lelaki berumur membuatkan datin sering teringatkan arwah suaminya,dia mula tertarik pada ZACK.Pada masa yang sama,EMELIA juga ada menyimpan perasaan pada ZACK kerana ketampanan wajah ZACK yang asal.Hubungan antara Datin dan SUFIAN mula renggang,Datin kini lebih menumpukan perhatian terhadap ZACK.Ini membuatkan SUFIAN berasa rancangannya untuk membolot harta dan perniagaan Datin tidak kesampaian.

Dia mula merancang untuk menculik Datin.Dalam satu majlis hari jadi EMELIA,DATIN GHAIRIEYAH telah diculik oleh konco-konco H1N1 yang diketuai oleh SUFIAN.SUFIAN meminta wang tebusan sejumlah US100 juta kepada CAPT.(R) LOQMAN bagi membebaskan DATIN GHAIRIEYAH. ZACK,DERUS LEE dan pasukan Polis Diraja Malaysia telah berjaya membebaskan DATIN GHAIRIEYAH. SUFIAN dan konco-konconya dapat diberkas. Akhirnya ZACK terpaksa menjelaskan kedudukannya bahawa dia adalah seorang pegawai Polis cawangan siasatan jenayah Interpol yang sedang memburu SUFIAN yang mengetuai sendikit yang mengedar dadah dan senjata api yang terkenal di asia. SUFIAN gagal mempengaruhi DATO MAHFUZ kira-kira dua tahun lalu dan SUFIAN merancang untuk membunuh DATO MAHFUZ dengan meletupkan bot mewah, ini membuatkan pihak Polis tidak mengesyaki dia membunuh DATO MAHFUZ. SUFIAN mula mensasarkan Datin sebagai batu loncatannya.

Dia mula memperdaya FAIZAL dan HAIRIE bagi memenuhi cita-citanya,ternyata tindakannya berhasil. ZACK memberitahu Datin,dia sangat berterima kasih kepada seseorang yang telah memberikan segala maklumat tentang kegiatan SUFIAN. Orang tersebut adalah DATO MAHFUZ lalu ZACK menunjukkan arah seorang lelaki yang sedang berdiri dan itulah DATO MAHFUZ yang masih lagi hidup. Datin amat terkejut,dia segera berlari dan memeluk suaminya tersayang. Akhirnya DATIN GHAIRIEYAH sangat-sangat terhutang nyawa dan budi kepada ZACK yang telah menyelamatkan diri dan keluarganya dari terjebak di dalam sendikit penyeludupan. Dia dan anaknya EMELIA terpaksa akur dengan apa yang telah berlaku walaupun hati mereka terlalu sayang kepada ZACK namun terpaksa juga merelakan pemergian DSP ZAMREE (ZACK) menjalankan tugasnya demi negara Malaysia tercinta.

Pengarah : Sabree Fadzil

Penulis/Lakon Layar : Sabree Fadzil

Lakonan : Maria Farida, Aaron Aziz, Faizal Hussein, Yank Kassim, Hairie Othman, Sheera

Tarikh Tayangan : 22 September 2011














Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...