Kita masih lagi dalam suasana menyambut Tahun Baru Hijrah 1432H. Sudahkah anda membuat azam baru untuk tahun ini?
Jika ya, apakah anda sudah membuat pelan tindakan bagaimana untuk mencapai kesemua azam yang anda buat?
Azam saja tidak cukup. Kita mesti ada pelan tindakan yang jelas. Barulah mudah untuk kita melaksanakan, seterusnya mencapai azam kita.
Dalam entri kali ini, saya ingin berkongsi dengan anda 5 Tips atau Strategi Bagaimana Untuk Mencapai Kejayaan.
Anda ingin mencapai kejayaan bukan? So, baca, fahami dan amalkan kandungan artikel ini.
5 Tips Untuk Capai Kejayaan
1. Sikap
Sikap adalah satu faktor penentu kejayaan dalam apa jua perkara yang anda lakukan. Albert Einstein mengatakan bahawa sikap merupakan 99% penentu kepada kejayaan atau kegagalan seseorang.
Jika anda ingin memperoleh kejayaan, anda pertamanya mestilah mempunyai sikap yang positif dalam apa jua perkara yang anda lakukan.
Ketika anda sedang berehat, hendak melelapkan mata atau bekerja – apa juga yang anda lakukan, anda mestilah menanamkan sikap positif.
Apabila suatu perkara tidak menjadi seperti yang anda harapkan, anda seharusnya terus bersikap positif.
Jika anda bangun lewat, jangan merasa tertekan atau kecewa sangat, sebaliknya anda harus berfikiran positif dan berkata kepada diri anda sendiri “ok, hari ini aku terlewat bangun, sekarang aku perlu lakukan yang terbaik untuk hari ini”.
Saya yakin mereka yang mencapai kejayaan pada hari ini adalah mereka kesemuanya mempunyai sikap yang baik dan positif.
Sebenarnya, memang lebih mudah bagi kita untuk berfikiran negatif. Dan untuk berfikiran positif itu hakikatnya memerlukan sedikit usaha.
Saya cadangkan anda lekatkan sekeping nota di atas meja anda, di dalam kereta, pada cermin di bilik mandi, sekeping nota ringakat tertulis “SIKAP POSITIF”. Apabila anda melihat nota itu, berhenti sejenak dan berfikir tentang perkara yang sudah berlaku pada hari itu, adakah anda sentiasa bersikap positif dalam setiap perkara?
Jika anda bersikap positif, semua perkara yang anda lakukan akan menjadi lebih mudah. Jika ada perkara yang anda tidak suka untuk melakukannya, jangan biarkan sikap negatif menguasai diri. Cuba lakukan dulu perkara tersebut dan fikirkan “Saya akan buat kerja ini sampai habis kemudian selepas ini saya akan buat kerja yang saya suka !”.
Cubalah teknik ini dan anda pasti akan merasakan perbezaannya.
2. Ambil tindakan
Ini merupakan satu perkara yang paling kritikal dan paling penting dalam membezakan orang berjaya dengan orang gagal.
Ada ramai orang mempunyai idea-idea yang baik dan mereka memberitahu kepada kawan-kawan tentang idea atau cadangan tersebut. Mereka seronok bercerita kepada orang ini dan orang itu. Tapi sayang, dalam keghairahan mereka berkongsi idea dan cerita itu, mereka tidak mengambil sebarang tindakan. Sehinggalah cerita mereka itu menjadi senyap begitu saja tanpa sebarang tindakan. Mereka inilah orang-orang yang gagal dan rugi.
Jika anda mempunyai banyak idea atau cadangan yang bagus. Itu tidak mengapa. Tetapi yang terlebih pentingnya ialah TINDAKAN. Anda mesti mengambil tindakan.
Sebenarnya, apabila anda sudah mula mengambil tindakan, anda akan menghadapi pelbagai halangan dan cabaran. Namun, anda mesti komited dan fokus kepada tindakan anda sehinggalah anda mencapai kejayaan.
Jika anda mempunyai sebarang projek atau idea yang ingin dilaksanakan pada masa ini, mungkin juga sesuatu yang sudah lama anda fikirkan, berhentilah daripada bercakap dan berfikir mengenainya. Yang penting sekarang ialah JUST DO IT! LAKUKAN SAJA!
Saya mempunyai ramai kawan-kawan yang datang berjumpa dan bercakap mengenai pelbagai idea bisnes dan sebagainya. Mereka begitu ghairah bercerita dan berkongsi cerita.
Saya sentiasa memberikan pendapat dan mengingatkan mereka betapa pentingnya untuk mengambil tindakan. Saya juga berikan mereka sokongan moral dan semangat untuk melakukannya.
Tetapi yang menyedihkan ialah 90% daripada mereka tidak pernah membuat tindakan.
Ingatlah, jika anda tidak membuat tindakan, anda sebenarnya menafikan hak anda untuk mencapai kejayaan.
3. Tukar Paradigma
Sejak dari bangku persekolahan lagi kita selalu diingatkan dipesan “Belajarlah pandai-pandai supaya besar nanti dapat kerja yang baik”.
Bukanlah pesanan itu tidak betul. Cuma pada saya, kita mesti menjadi orang yang lebih terbuka dan berwawasan tinggi. Dalam dunia global dan penuh mencabar sekarang ini, gaya pemikiran begitu sudah agak ketinggalan.
Orang belajar sekarang ini bukan untuk mendapat kerja (makan gaji ) yang baik. Sebaliknya, gaya pemikiran usahawan dan cendekiawan perlu ditanam pada jiwa anak-anak kita sedari kecil lagi.
Ketahuilah bahawa 80% jutawan pada hari ini mencapai impian mereka dengan memulakan bisnes sendiri. Semua orang pun tahu, jika kita benar-benar mahukan kebebasan kewangan@kaya, tidak dapat tidak, kita mesti berusaha untuk membuka perniagaan sendiri.
Maka, mari kita ubah paradigma dan gaya pemikiran kita menjadi lebih terbuka, global dan berdaya saing.
4. Tuliskan Apa Yang Anda Fikirkan
Tidak kiralah, sebaik manapun otak atau memori yang anda miliki, anda tak boleh take for granted. Mengapa perlu mengambil risiko terlupa sesuatu yang penting?
Tuliskanlah perkara yang ada difikiran supaya anda membantu melegakan otak atau minda anda yang penuh dengan informasi.
Jika anda mempunyai sesuatu idea – tuliskan.
Jika anda mempunyai masalah – tuliskan ia.
Apabila anda menulis mengenai suatu masalah, ia sebenarnya membuatkan otak anda berputas ligat memikirkan jalan penyelesaiannya. Apabila anda tulis sesuatu masalah itu, anda akan mendapati bahawa anda dapat berfikir dengan lebih jelas, dan yakinlah bahawa satu masa nanti anda akan dapat jalan untuk menyelesaikannya.
Teknik ini nampak mudah dan leceh, tapi jika anda mula mempraktikkannya, anda akan dapat merasai kesan baiknya.
5. Tetapkan Tujuan Dan Impian
Jika anda tidak mempunyai sasaran, anda tidak akan ke mana-mana. Anda akan jadi, pi mai pi mai tang tu.
Anda harus mempunyai matlamat atau sasaran yang jelas. Anda perlu tahu ke mana destinasi anda dan apa yang anda ingin capai. Berusahalah untuk mencapainya dan sentiasa ingat akan impian anda.
Saya ada ramai kenalan yang mungkin (pada saya) kurang faham tentang konsep menetapkan sasaran ini. Ramai yang membuat impian seperti, “impian aku ialah untuk menjadi jutawan dalam masa 5 tahun”, tetapi apabila saya bertanyakan kepada mereka bagaimana untuk mencapainya? Mereka gagal untuk menjawab soalan mudah saya itu. Jika begitu, nampaknya mereka sendiri tidak jelas dengan impian mereka sebenarnya.
Anda mesti mempunyai sasaran atau matlamat jangka panjang dan jangka pendek. Matlamat anda mesti jelas dan teliti. Anda mesti mempunyai pelan tindakan kepada setiap matlamat anda. Anda mesti pecahkan matlamat anda menjadi kecil dan boleh dicapai supaya senang untuk anda fokus pada tindakan.
Sekian. Saya rasa cukuplah dulu 5 tips ini untuk kita sama-sama amalkan. Saya harap 5 tips dan strategi diatas dapat membantu anda untuk mencapai kejayaan dengan lebih mudah dan cepat. Good Luck....!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan